Malim Gunung Yang Terkorban terima anugerah.
Malim Gunung Yang Terkorban terima anugerah.. Masih ingat lagi dengan peristiwa gempa bumi di sabah yang telah mengorbankan banyak nyawa? Ianya juga telah mengubah rupa bentuk gunung kinabalu sama sekali. Ada aku kongsikan dalam entry GAMBAR GUNUNG KINABALU SELEPAS GEMPA BUMI.
Orait. Dalam kejadian tersebut, nama malim gunung telah menjadi viral di atas keberanian mereka dalam mengawal dan menyelamatkan mangsa gempa bumi sabah. Ada yang sudah mengenali mereka dan ada juga yang tertanya-tanya, SIAPA MALIM GUNUNG?. Mereka adalah dari kalangan penduduk tempatan yang menjadi petunjuk arah kepada pendaki gunung.
Sempena sambutan ulang tahun Tuan Yang Terutama Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin, beliau telah menganugerahkan Pingat Bintang Setia Kinabalu (BSK) kepada 4 orang malim gunung yang telah terkorban. mereka adalah joseph Salugin, 33; Robbie Sapinggi, 31; Ricky Masirin dan Valerian Joannes, 28. Mereka benar-benar di angkat sebagai wira dalam tragedi ini.
Malim gunung tarik perhatian dunia.
Peranan dan pengorbanan malim gunung dalam menyelamatkan pendaki yang terkandas di Gunung Kinabalu dalam kejadian gempa bumi baru-baru ini menarik perhatian masyarakat dunia.
Kisah keberanian dan susah payah mereka ketika menyelamatkan pendaki terbabit kini tersebar dengan meluas melalui media tempatan dan asing.
Ramai pendaki yang terkandas di gunung tertinggi di Asia Tenggara itu memuji kemahiran dan ketangkasan wira berkenaan dalam menyelamatkan mereka selepas gempa bumi berukuran 5.9 pada skala Richter melanda Ranau pada 7.15 pagi Jumaat, yang turut menggegarkan Gunung Kinabalu.
Australian Broadcasting Corporation (ABC) dalam laporannya menyifatkan malim Gunung Kinabalu sebagai wira yang perlu diberi sanjungan.
Pendaki Australia, Vee Jin Dumlao memberitahu ABC bahawa beliau amat terhutang budi kepada malim gunung bernama Jomius, yang telah bertungkus-lumus membantu para pendaki untuk tiba di tempat selamat selepas kejadian itu.
"Malim gunung adalah wira sejati. Mereka menggadai nyawa dan membuat keputusan rumit, yang akhirnya berjaya menyelamatkan nyawa kami," katanya.
Cable News Network (CNN) pula melaporkan bahawa para malim gunung muncul sebagai wira dalam menyelamatkan mereka yang terkandas di puncak Gunung Kinabalu berikutan gempa bumi itu.
Pendaki tempatan, Nurul Hani Ideris, 29, memberitahu CNN: "Para malim gunung itu nampaknya tahu setiap inci kawasan dan berjaya membuka ruang melalui landskap yang musnah teruk, dengan memotong dahan serta mengikat tali untuk mewujudkan laluan baharu".
Lynn Siang, seorang jurucakap agensi pelancongan, menyifatkan para malim gunung berkenaan sebagai wira kerana telah melaksanakan tugas penting dalam usaha menyelamat di laluan yang terhalang oleh bungkahan batu melalui penggunaan tali.
"Apabila pendaki selesai melintas tali itu, mereka akan memijak bahu malim gunung yang menjadikan tubuh mereka sebagai kusyen," katanya kepada CNN.
Setakat ini, gempa bumi itu disahkan meragut nyawa 13 pendaki, termasuk seorang malim gunung bernama Robbi Sapinggi, manakala sekurang-kurangnya enam lagi masih belum dapat dikesan.
Sumber: Bernama
Tiada ulasan:
Silalah tinggalkan komen anda yang bernas & membina. Komen yang menyentuh keagamaan, politik, atau yang boleh menimbulkan rasa tidak senang orang lain adalah dilarang. Sila tinggalkan juga URL blog kalian supaya kami juga boleh membalas kunjungan.
Terima kasih kerana sudi singgah ke blog ceritaejoy.com