Rahsia di sebalik perjanjian TPPA. (Bahagian 2)


Rahsia di sebalik perjanjian TPPA. (Bahagian 2). Dalam bahagian 1, aku ada sertakan petikan akhbar mengenai malaysia akan mendapatkan kelulusan parlimen sebelum menandatangani perjanjian TPPA. Dalam bahagian kedua, aku cuba untuk kongsikan, apakah yang menjadi kerisauan rakyat kepada perjanjian ini. Dalam bacaan aku dari blog ke blog, banyak yang berkongsikan akan kesan buruk daripada perjanjian ini. Ia juga dikatakan cara baharu "penjajahan" sesebuah negara. Itu aku kurang pasti.

Bacaan aku di page Perkasa memberikan banyak impak besar di dalam pemikiran aku sekarang. Ianya sedikit sebanyak mengusarkan aku mengenai kelansungan hidup pada masa mendatang. Izinkan aku kongsikan artikel yang di tulis oleh Laksamana Madya (B) Datuk Mat Rabi Abu Samah
Ahli Dewan Tertinggi Perkasa merangkap Pengerusi Biro Ekonomi Perkasa Malaysia. Entry ini agak panjang. Ambil masa anda untuk faham dan faham, apakah kesan yang bakal kita semua hadapi daripada perjanjian TPPA ini. Ia juga menerangkan apakah Rahsia di sebalik perjanjian TPPA ini.


Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) Menjejaskan Kedaulatan dan Melenyapkan Agenda Bumiputera

1. Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) adalah satu perjanjian antara 12 negara yang sedang dirundingkan. Malaysia adalah antara 12 negara tersebut.

2. TPPA dianggap sebagai perjanjian perdagangan bebas namun sebenarnya ia bukan satu perjanjian perdagangan biasa tetapi melangkau banyak aspek pengurusan negara. Dan TPPA bukan perjanjian yang adil dan bebas. TPPA penuh dengan jerangkap dan kata-kata belit.

3. Rundingan juga dijalankan secara rahsia oleh beberapa pegawai kerajaan diketuai oleh Ketua Setiausaha MITI iaitu Tan Sri Rebecca Sta Maria dan Pegawai Kanan MITI, Datuk Jayasiri Jayasena.


4. Wakil Rakyat dan Menteri tidak diberi maklumat lengkap dan juga tidak diberi Draf Perjanjian.

5. PERKASA menentang kuat Malaysia menyertai perjanjian TPPA ini.

6. Banyak isu dalam TPPA yang boleh merugikan negara dan masyarakat khususnya masyarakat bumiputera.

7. Pada PERKASA, antara isu terbesar adalah isu kedaulatan negara dan isu bumiputera.

8. Kita percaya dasar ekonomi dan aspirasi nation building, sekurang-kurang adalah untuk mencapai:

• Aspirasi mengurus ekonomi negara berpaksi pada pengagihan (distributive); disamping pertumbuhan (growth) dan tadbir-urus yang baik
• Agenda Bumiputera sebagai Agenda Nasional demi mencapai parity dalam pendapatan dan pengurangan jurang kekayaan antara kaum
• Kesejahteraan rakyat (welfare, wellbeing) keseluruhan semua kaum
• Perpaduan nasional


 Isu Kedaulatan

1. Jika kedaulatan negara kita terjejas, apa jua dasar dan matlamat untuk usaha bina-negara (nation building) seperti di atas akan terbantut dan terus musnah.

2. Bagaimana kedaulatan negara akan terjejas?

i) Perlembagaan dan Undang-Undang Malaysia akan menjadi lebih rendah (subordinate, subservient) dari perjanjian TPPA, apabila TPPA dimeterai.

ii) Oleh kerana TPPA bukan perdagangan (trade) semata – tetapi amat luas ruang lingkupnya dan mencakupi hampir semua aspek perjalanan negara dan masyarakat – ianya seolah menjadi “super-constitution”.

iii) Penguatkuasaan perjanjian TPPA bukan di mahkamah tempatan, tetapi di tribunal antarabangsa di New York atau Washington. Keputusan mahkamah tempatan boleh diatasi oleh tribunal antarabangsa di USA.

iv) Syarikat-syarikat multinational dari negara-negara TPPA boleh menyaman kerajaan Malaysia jika mereka anggap perlembagaan,undang-undang, peraturan dan bye-law, dasar dan program di Malaysia melanggar perjanjian TPPA dan menjejaskan pelaburan mereka.

v) Malaysia akan terpaksa mengubahsuai perlembagaan, undang-undang, dasar untuk selari dan tidak bercanggah dengan TPPA. Kita akan diberi tempoh masa untuk melakukan ini.

vi) Undang-undang dan dasar baru perlu juga selari dan tidak bercanggah dengan TPPA. Bererti, kemungkinan apabila kita sedar kompleksitinya TPPA itu dan jerangkapnya, kita akan menjadi cuak dan takut untuk membuat dasar dan undang-undang baru walaupun dasar dan undang-undang itu amat diperlukan untuk kebaikan dan kebajikan awam dan negara.

3. Walau apapun manfaat sedikit atau banyak dalam dagangan, bisnes, ekspot dan pelaburan yang mungkin dapat diraih, Perkasa berpendirian tidak wajar dipertarungkan kedaulatan negara untuk mencapainya.

4. Adakah bahaya dan risiko ini dimaklumkan pada DYMM YDP Agong, Majlis Raja-Raja ?

5. Adakah pimpinan dan grassroot UMNO sedar dan peka tentang bahaya dan risiko ini?


 Dasar dan Agenda Bumiputera.

1. Memang pihak MITI telah menyatakan bahawa dasar bumiputera akan dikecualikan (carve-out) dari TPPA secara bersyarat.

2. Kenyataan kerajaan atau MITI berkenaan ini tidak dilengkapkan dengan penjelasan dan perincian — hanya setakat kenyataan umum kerana rahsia. Maka kita berada dalam gelap dan kecurigaan.

3. Pengecualian bersyarat bermakna pengecualian itu ada had masa, bukan selama-lamanya. MITI telah menjelaskan kemungkinan ada dua cara menentukan had masa ini.

Cara pertama: Berdasarkan tempoh masa, contoh: 5 tahun. Bermakna selepas lima tahun pengecualian itu tamat.

Cara kedua: Berdasarkan status pendapatan tinggi (mengikut syarat/threshold Bank Dunia). Bermakna apabila GNI per kapita Malaysia melebihi syarat/threshold Bank Dunia (sekarang USD 12,700 per capita) pengecualian itu tamat.

Kita tidak pasti cara mana akan digunapakai.

4. Apa yang tidak boleh diterima ialah apabila tempoh pengecualian itu tamat, TPPA akan mengkehendakki Malaysia tidak melaksanakan lagi apa-apa dasar bumiputera. Apa-apa dasar sekalipun.

5. Ini bermakna fasal 153 dan lain-lain keistemewaan termaktub dalam perlembagaan , dasar-dasar saperti RMK11, PNB dan ASB, PUNB, MRSM, UiTM, Permerkasaan Ekonomi Bumiputera, FELDA, FELCRA, perolehan kerajaan dan apa juapun – jika perlaksanaannya mendiskriminasi pihak lain dari bumiputera – semua wajib dihentikan serta-merta.

6. Jika kita selepas tempoh pengecualian terus melaksanakan mana-mana dasar itu, contohnya Kementerian Kewangan memberi projek binaan bernilai RM50 juta pada syarikat bumiputera tanpa tender atau tendernya yang bukan terendah. Atau PUNB menyediakan pembiayaan kewangan murah atau pembiayaan dalam bentuk geran kepada syarikat bumiputera.

Dalam contoh di atas, syarikat-syarikat multinasional dalam bidang yang sama boleh menganggap bahawa mereka teraniaya, tidak diberi peluang dan hak sama rata; dan kerana itu dasar tersebut telah menjejaskan pulangan dan nilai pelaburan mereka – maka mereka akan/boleh saman kerjaan Malaysia di mahkamah ISDS di USA.

Mereka tidak perlu merujuk mahkamah tempatan langsung.


7. Juga mengkhuatiri ialah apa pengecualian yang diperolehi/sedang dirundingkan? Siapa yang menasihati MITI untuk bentuk dan rupa pengecualian? Adakah badan-badan NGO, Dewan dan Persatuan Melayu dan Bumiputera telah dirujuk? Adakah mereka telah merujuk pakar-pakar dasar dan kepentingan bumiputera dari EPU, Kementerian Kewangan, Kementerian Pertanian, Kementerian Luar Bandar, MARA, saki-baki kementerian MDEC dan lain-lain.

8. Perkasa tidak maklum tentang perujukan dan engagement dengan stakeholder bumiputera yang rapi untuk mencapai pendekatan yang berkesan dan fool-proof.

9. MITI menjanjikan dua kajian kos-manafaat (Cost-Benefit Analysis, CBA) dua tahun dulu. Satu untuk kajian kepentingan negara(National Interest Analysis), satu lagi CBA untuk bumiputera. Walaupun Teraju yang diberi tanggungjawab CBA bumiputera, yang buat kajian sebenar adalah Price waterhouse Coopers (PwC). Sampai sekarang kita percaya kedua-duanya belum dikeluarkan lagi.

10. Berdasarkan ketiadaan perbincangan isu bumiputera dan dari dokumen-dokumen yang bocor (wikileak), kita tidak nampak bibit-bibit kesungguhan dan usaha gigih pihak perunding Malaysia menangani pengecualian dasar bumiputera; sepertimana kita nampak bibit-bibit kesungguhan pihak perunding Malaysia dalam memperolehi pengecualian dasar tembakau (tobacco carve-out) – suatu lagi initiatif dari Malaysia.

11. Kita tidak mahu nanti jadi macam 1MDB yang mana kita diminta menaruh kepercayaan penuh dengan competency dan keprihatinan pegawai-pegawai tertentu tetapi hasilnya tidaklah secantik mana.

12. Nanti apabila masalah melaksanakan dasar bumiputera dibawah regim TPPA – orang melayu dan bumiputera yang menanggung. Anak-cucu kita akan menanggung kebodohan dan kealpaan kita sekarang ini.

13. Hakikatnya Agenda Bumiputera untuk mencapai aspirasi kesamarataan dan kemajuan yang jati dan mampan – memerlukan usaha dan jangkamasa yang jauh lebih meluas dari yang ada sekarang. Bukan dikekang sepertimana akan berlaku di bawah perjanjian TPPA.

14. Isu-isu lain:

i) Ekonomi kita boleh ranap
ii) Ubatan akan jadi mahal kerana peraturan hak cipta intelek
iii) Kos pendidikan akan jadi mahal kerana peraturan hak cipta intelek
iv) Syarikat kecil (SME) akan terjejas kerana liberalisasi tarif impot & ekspot
v) GLC kita akan dikekang operasi dan keberkesanan sebagai instrumen dasar kerajaan
vi) Banyak syarikat besar tempatan dalam bidang kewangan dan telekominikasi akan terjejas. Kemungkinan banyak kerja akan terjejas.
vii) Alam sekitar kita akan terjejas


15. Negara akan tergadai jika kita tandatangani TPPA. Jangan jual Malaysia.

Tiada ulasan:

Silalah tinggalkan komen anda yang bernas & membina. Komen yang menyentuh keagamaan, politik, atau yang boleh menimbulkan rasa tidak senang orang lain adalah dilarang. Sila tinggalkan juga URL blog kalian supaya kami juga boleh membalas kunjungan.

Terima kasih kerana sudi singgah ke blog ceritaejoy.com

Dikuasakan oleh Blogger.