Piala AFF Suzuki : Malaysia menang 4-2 menentang vietnam!
HANOI - Harimau Malaya mengeluarkan segala jurus untuk
membuat Vietnam terpaku di Stadium My Dinh sekali gus menempah tiket ke
perlawanan akhir selepas melakukan kejutan dengan menumbangkan tuan rumah 4-2
dan agregat 5-4 semalam.
Malaysia akan berdepan Thailand di pentas akhir pada 17
Disember di Stadium Rajamangala, Bangkok dan perlawanan kedua di Stadium Shah
Alam pada 20 Disember.
Perjudian Dollah melakukan rombakan dengan membawa masuk
lima muka baharu dalam kesebelasan utama termasuk Mohd. Badhri Radzi, Indra
Putra Mahayuddin dan Mohd. Farizal Marlias ternyata membuahkan hasil.
Ketinggalan dengan agregat 2-1 hasil kekalahan di Shah Alam
pada Ahad lalu, skuad negara mengasak sebaik sepak mula dan permainan mereka
jelas memukau Vietnam yang dibolosi empat gol pada babak pertama menerusi Safiq
Rahim, Norshahrul Idlan Talaha dan Shukor Adan serta gol sendiri Dinh Thien
Thanh.
Harimau Malaya mendahului seawal minit kedua menerusi
sepakan penalti selepas Indra dijatuhkan oleh Tien Thanh.
Walaupun terpaksa mengambil sepakan penalti sebanyak dua
kali, Safiq tiada masalah untuk menjaringkan gol peribadi keempat dalam
kejohanan ini pada minit kelima.
Norshahrul menjaringkan gol kedua Malaysia pada minit ke-15
setelah membuat sepakan lambung bola yang berada di antara penjaga gol Tran
Nguyen Manh dengan seorang pemain pertahanannya.
Momentum Harimau terencat seketika apabila Vietnam
merapatkan jurang lapan minit kemudian menerusi Le Cong Vinh yang
menyempurnakan penalti.
Namun, jaringan sendiri daripada Thien Tinh pada minit ke-29
yang tertampan masuk hantaran lintang Indra Putra memastikan kelebihan sekali
lagi menjadi milik anak-anak buah Dollah selain sudah mengatasi Vietnam dari
segi gol di tempat lawan.
Ketua pasukan, Shukor Adan melengkapkan separuh masa pertama
yang penuh bergaya apabila menanduk kencang bola hantaran Mohd. Fadhli Shas
pada minit ke-43.
Segalanya tampak berlaku seperti dirancang pada babak kedua
tetapi sebaik sahaja Cong Vinh mendapatkan gol kedua pada minit ke-78, Vietnam
tiba-tiba sahaja mendapat semangat baharu.
Asakan demi asakan membuatkan Dollah terpaksa membawa masuk
Mohd. Afif Amiruddin untuk memperkukuhkan barisan pertahanan dan skuad negara
berjaya mengekalkan kelebihan sehingga wiset penamat terakhir permainan.
Dollah, yang ditemui selepas perlawanan berkata, dia berasa
seperti di awang-awangan apabila Harimau Malaya mampu mengalahkan Vietnam buat
kali pertama dalam sejarah bola sepak negara.
“Tidak sangkalah kita boleh menang hari ini, tahniah kepada
pemain yang berjuang habis-habisan sepanjang permainan,” katanya. – UTUSAN
“Saya amat berbangga, apatah lagi sebagai jurulatih baharu
pasukan ini... mereka buktikan tiada apa yang mustahil pada malam ini.
“Empat peluang yang mereka terima, empat gol yang kita
jaringkan. Kalau inilah yang mereka terapkan, saya yakin kita boleh pergi
jauh,” katanya.
Selain itu, dia terkejut kerana pertahanan Vietnam banyak
melakukan kesilapan dan itu membuka ruang kepada pemainnya mendapatkan gol.
“Babak pertama kami menggunakan sepenuhnya kesempatan yang
kami perolehi apabila pertahanan tuan rumah kerap kali melakukan banyak
kesilapan mudah.
“Di separuh masa kedua barulah saya nampak Vietnam
menunjukkan permainan sebenar mereka tetapi pemain kita mengekalkan disiplin
hingga minit terakhir permainan,” katanya.
Rakan sejawatnya, Toshiya Miura pula menganggap persembahan
yang ditampilkan Vietnam adalah terburuk sepanjang dia melatih pasukan itu.
“Sukar untuk mengatakannya namun memang ini adalah antara
aksi paling mengecewakan sejak saya di sini.
“Mereka hanya tampak agresif di separuh masa kedua dan
Malaysia menghukum segala kesilapan kami, mereka layak ke perlawanan akhir,”
katanya. – UTUSAN
Tiada ulasan:
Silalah tinggalkan komen anda yang bernas & membina. Komen yang menyentuh keagamaan, politik, atau yang boleh menimbulkan rasa tidak senang orang lain adalah dilarang. Sila tinggalkan juga URL blog kalian supaya kami juga boleh membalas kunjungan.
Terima kasih kerana sudi singgah ke blog ceritaejoy.com