KISAH MARYAM DI KEBUMI OLEH MALAIKAT DAN BIDADARI SYURGA
Perkongsian daripada blog : http://ulumnabawiahmakh.blogspot.com
Nabi Isa adalah nabi yang dilahirkan tanpa ayah dengan izin
Allah dan Maryam adalah ibu yang telah melahirkan, menjaga dan mendidik Nabi
Isa dengan penuh kasih sayang. Suatu hari Nabi Isa telah bekata kepada ibunya,
“Sesungguhnya dunia ini adalah kampung yang akan musnah dan sesungguhnya
akhirat itu adalah kampung yang kekal, oleh itu, marilah ibu besama saya”.
Setelah berkata demikian, maka berangkatlah mereka menuju ke
gunung Lebnon. Apabila sampai di gunung tersebut, maka Nabi Isa dan ibunya
berpuasa di siang hari dan mendirikan solat di malam hari. Makanan mereka
terdiri daripada pohon kayu dan meminum air hujan sahaja.
Setelah sekian lama Nabi Isa dan ibunya tinggal di gunung
tersebut, maka suatu hari Nabi Isa turun dari gunung tersebut untuk mencari
daun kayu untuk mereka berdua berbuka puasa. Setelah Nabi Isa turun ke bawah,
datanglah malaikat menghampiri Maryam dan berkata, “Assalamualaiki ya Maryam,
orang yang sangat patuh mengerjakan puasa pada siang hari dan mengerjakan solat
pada malam hari”.
Sebaik saja Maryam melihat orang yang memberi salam itu,
maka Maryam berkata, “Siapakah kamu ini? Badan dan seluruh anggotaku
menggeletar dan berasa takut mendengar suaramu”. Malaikat tersebut menjawab,
“Aku adalah malaikat yang tidak mempunyai belas kasihan kepada sesiapa pun baik
anak kecil, orang tua atau sebagainya sebab aku adalah malaikat pencabut nyawa
(Izrail)”.
Mendengar penjelasan malaikat maut, maka Maryam bertanya,
“Wahai malaikat maut, apakah tujuan kamu ke sini? Adakah kamu mahu menziarahi
aku atau pun mencabut nyawaku?” Izrail menjawab, “Wahai Maryam, kedatanganku
adalah untuk mencabut rohmu”. Maryam yang mengetahui ajalnya sudah hampir
berkata lagi, “Wahai malaikat maut, apakah kamu tidak mahu memberikan peluang
sehingga anakku yang menjadi penawar mengubati kerisauan hatiku?”
Malaikat maut memperjelaskan perintah Allah yang
memerintahkannya untuk menjemput roh Maryam dan beliau tak dapat mengsia-siakan
walau satu saat. mendengar penjelasan Izrail, dengan hati yang ikhlas, Maryam
berkata, “Wahai malaikat maut, kamu telah menerima perintah Allah, oleh itu
laksanakanlah perintah itu dengan segera.” Izrail segera mendekati Maryam dan
mencabut rohnya.
Selesai waktu Isyak yang akhir, Nabi Isa pulang dengan
mendaki gunung tersebut dan membawa bekalan berbuka puasa. Beliau melihat
ibunya sedang berada di tempat solat dan menyangka bahawa ibunya sedang sembahyang.
Beliau meletakkan bekalan makanan untuk berbuka puasa dekat dengan ibunya lalu
beliau berdiri menghadap kiblat. Setelah sekian lama, beliau memanggil ibunya
untuk berbuka puasa dan mengerjakan ibadah tanda syukur kepada Allah, namun
beliau melihat tak sedikit pun makanan terusik oleh ibunya walau dua pertiga
malam telah berlalu.
Nabi Isa memanggil lagi ibunya, “Assalamualaiki ya Ummaahu”.
Oleh kerana fajar telah menjelma dan ibunya tidak lagi bangun, maka beliau
menghampiri ibunya dan meletakkan pipinya pada pipi ibunya lalu menciumnya
sambil menangis dan berkata, “Assalamualaiki ya Ummaahu. Malam telah berlalu
dan fajar telah menjelma, ini adalah masa untuk menunaikan fardhu yang telah
diwajibkan oleh Allah”.
Setelah Nabi Isa berkata demikian, maka menangislah para
malaikat dan para jin yang berada di sekitarnya dan bergoncanglah gunung di
bawahnya. Kemudian Allah mewahyukan kepada para malaikat, “Apakah yang
menyebabkan kamu semua menangis?” Para malaikat berkata, “Tuhan kami, Engkau
Maha Mengetahui”. Setelah itu tiba-tiba kedengaran satu suara berbunyi, “Wahai
Isa, angkatlah kepalamu itu, sesungguhnya ibumu telah meninggal dunia dan Allah
telah melipatgandakan pahalamu”.
Sebaik sahaja Nabi Isa mendengar suara tersebut, maka beliau
sambil menangis berkata, “Siapakah yang akan menjadi temanku tatkala aku sunyi
dan di kala aku menangis? Siapakah yang dapat aku ajak berkata-kata dan
siapakah yang dapat membantu aku dalam ibadahku?” Kemudian Allah mewahyukan
kepada gunung yang bermaksud, “Wahai gunung, nasihatilah Ruh-Ku (Isa A.S.)”.
Berkata-katalah gunung tersebut dengan izin Allah, “Wahai
Ruh Allah, apakah erti kesusahanmu itu, ataukah kamu mahu Allah sebagai
pendampingmu yang menggembirakan?” Setelah mendengar nasihat gunung, lalu Nabi
Isa turun ke sebuah desa tempat tinggal Bani Israil dan meminta pertolongan
mereka untuk menguruskan jenazah ibunya. Namun mereka tak mahu menolong Nabi
Isa kerana takut pada ular-ular besar yang ada di gunung tersebut.
Nabi Isa dengan perasaan hampa naik kembali ke gunung dan
beliau melihat dua orang pemuda yang sangat kacak rupa parasnya lalu beliau
memberi salam dan meminta pertolongan mereka untuk memakamkan jenazah ibunya.
Lalu berkata salah seorang dari pemuda itu, “Aku ini
sebenarnya adalah malaikat Mikail dan sahabatku ini adalah malaikat Jibril. Aku
ada membawa ubat tubuh dan kain kafan dari Tuhanmu dan para bidadari jelita
sekarang sedang turun dari syurga untuk memandikan dan mengkafankan ibumu”.
Setelah itu, malaikat Jibril pun menggali kubur di atas
gunung. Selesai sahaja kerja memandi dan mengkafankan dilakukan oleh para
bidadari syurga, mereka menyembahyangkan jenazah Maryam dan mengebumikannya.
Lalu Nabi Isa berdoa kepada Allah, “Ya Allah, sesungguhnya Engkau mengetahui
tempatku dan Engkau mendengar kata-kataku dan tidak sedikit pun urusanku yang
tersembunyi dariMu. Ibuku telah meninggal dunia sedang aku tidak menyaksikannya
sewaktu dia wafat. Oleh itu izinkanlah dia berkata sesuatu kepadaku”.
Kemudian Allah mewahyukan kepada Nabi Isa, “Sesungguhnya aku
telah memberi izin kepadanya”. Nabi Isa lalu pergi ke kubur ibunya dan berkata,
“Assalamualaiki ya ibu, bagaimanakah dengan tempat pembaringanmu dan tempat
kembalimu dan bagaimanakah pula kedatangan Tuhanmu?” Dengan izin Allah Maryam
berkata, “Tempat pembaringanku dan tempat kembaliku adalah sebaik-baik tempat,
sedang aku mengadap kepada Tuhanku, aku tahu bahawa Dia telah menerimaku dengan
rela”.
Berkata Nabi Isa lagi, “Wahai ibu, bagaimanakah rasa
sakitnya mati?” Ibunya menjawab, “Demi Allah yang telah mengutuskanmu sebagai
nabi dengan sebenar-benarnya, belum hilang lagi rasa pedihnya mati, demikian
juga dengan rupa malaikat maut yang belum hilang dari pandangan mataku. Alaikas
salam wahai kasih sayangku sampai hari kiamat“.
Tiada ulasan:
Silalah tinggalkan komen anda yang bernas & membina. Komen yang menyentuh keagamaan, politik, atau yang boleh menimbulkan rasa tidak senang orang lain adalah dilarang. Sila tinggalkan juga URL blog kalian supaya kami juga boleh membalas kunjungan.
Terima kasih kerana sudi singgah ke blog ceritaejoy.com