Luahan hati tunang mangsa samun dan toreh muka.
Cinta saya tak berubah. Tidak mungkin saya melupakan insiden
itu dan sampai bila pun saya akan ingat terutama bagaimana dia (penjenayah)
menoreh muka saya,” kata Nur Shafiqa Lah, 22.
Dalam kejadian jam 2 petang Ahad lalu, muka Nur Shafiqa
ditoreh manakala matanya ditumbuk dua lelaki yang memecah masuk rumahnya di
Wakaf Berangan, Bandar Sri Aman.
Turut dicederakan dalam kejadian itu ialah ibu mangsa Hat
Tema Mat Zin, 58.
Menceritakan kejadian malang itu, anak kelima daripada enam
beradik itu berkata, dia hanya teringat mati lebih-lebih lagi apabila penyamun
itu tidak menghiraukan rayuan, sebaliknya terus mencederakannya.
“Saya guna kedua-dua tangan untuk melindungi muka dan
menangkis serangan lelaki itu.
“Namun, dia cepat menoreh muka dan sedar-sedar saja, saya
rasa muka ngilu dan panas apabila darah mengalir dengan banyak dan tangan juga
terasa perit. Akibat tidak tahan, saya cuba lawan dan menjadi agresif dan
ketika itu, dia keluar dari bilik dan saya mengambil kesempatan mengunci
pintu,” katanya ketika ditemui di rumahnya.
Nur Shafiqa berkata, dia bersyukur kerana diberikan kekuatan
mempertahankan diri walaupun teruk dikerjakan penjenayah, malah dalam keadaan
lemah itu masih sempat meminta bantuan daripada jiran.
Menurutnya, dia tidak pasti nasib dirinya jika tiada jiran
mendengar jeritan itu, malah dia masih trauma dengan kejadian yang berlaku.
“Kejadian itu begitu pantas dan penjenayah menceroboh masuk
pun seperti halimunan. Saya tidak hanya ditarik keluar dari bilik air, malah
kepala turut diketuk dengan objek tumpul.
“Ibu juga cedera ditumbuk beberapa kali di muka. Syukur
adik saya selamat kerana sempat bersembunyi di bawah katil,” katanya yang hanya
membuka pintu bilik apabila jiran memenuhi rumah mereka untuk membantu.
Nur Shafiqa dan Hat Tema dibawa ke Hospital Tengku Anis
(HTA), sebelum dirujuk ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang
Kerian untuk rawatan lanjut.
Bagaimanapun, dia hanya dibenarkan keluar hospital dan
dibawa pulang ke rumah pagi semalam oleh bapanya Lah Hassan, 59, serta
tunangnya Mohd Azijja Zafran Mohd Zahari, 24.
Mohd Azijja Zafran berkata, dia berharap penjenayah yang
mencederakan tunangnya dapat ditangkap segera dan dibawa ke muka pengadilan.
Menurutnya, mereka bercadang melangsungkan perkahwinan pada
Mac depan, namun bercadang mempercepatkan tempoh itu.
Katanya, cintanya terhadap Nur Shafiqa tidak berubah, malah
menjadi tanggungjawabnya memberikan kata-kata semangat bagi memulihkan semangat
insan tersayangnya itu.
Sumber : mat80.blogspot.com
Moga org yg buat ni dpt hukuman setimpal. Alhamdulillah, moga Allah terus panjangkan jodoh mereka.
BalasPadam