KDN sahkan tiada kes penculikan dan jual organ kanak-kanak.

Julai 01, 2014



Semalam, kementerian dalam negeri mengesahkan, tiada menerima apa-apa laporan berkaitan kes penculikan dan jual organ kanak-kanak. Bagi mereka yang mempunyai anak seperti aku, berita seperti ini, sedikit melegakan hati. Tetapi, ianya tetap bukan alasan untuk aku sekeluarga, tidak memberikan perhatian penuh kepada anak kami. Anak adalah anugerah Allah, yang tiada nilainya. Bukan mudah untuk mendapatkan seorang anak. Jadi, setiap saat amatlah bermakna kepada kami.

Gusar juga memikirkan keadaan dunia saat ini. Berita kes bunuh seperti sudah biasa kedengaran. Apatah lagi, bila memikirkan keadaan anak-anak kecil, yang tidak tahu apa-apa tentang dunia. Diculik dan dibunuh. Dan organ mereka dikeluarkan, kemudiannya di jual di pasaran gelap. Tak dapat dibayangkan perasaan ibu dan ayah mangsa. Apakah mereka mampu menerima seadaanya. Benar juga kata orang tua, duit mampu mengubah hati manusia. Dengan wang, manusia mampu buat apa sahaja, walaupun dengan darah daging sendiri.

Apa pun, malaysia masih lagi negara yang aman dan damai. Kita harusnya bersyukur, hidup di malaysia. Tidak seperti negara-negara lain. Malaysia sentiasa aman dan damai. InsyaAllah.


Tiada laporan kes jual organ

Kuala Lumpur: Kementerian Dalam Negeri menafikan laporan yang tersebar di media sosial kononnya terdapat kes penculikan kanak-kanak di Malaysia bagi tujuan penjualan organ manusia di dalam dan luar negara.
Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, sehingga kini, polis tidak menerima sebarang aduan daripada mana-mana pihak berhubung kes penjualan atau pembelian organ berkenaan.

“Dakwaan terdapat kanak-kanak diculik dan organ mereka diambil untuk dijual seperti yang tersebar di laman sosial khususnya di Facebook dan WhatsApp sejak kebelakangan ini adalah khabar angin semata-mata.
“Risikan mengesahkan tiada maklumat diperoleh sama ada di dalam atau di luar negara berkaitan sindiket penjualan atau pembelian organ oleh mana-mana pihak dari negara ini,” katanya pada persidangan Dewan Negara, di sini, semalam.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Senator Datuk Raja Roopiah Raja Abdullah yang ingin tahu mengenai dakwaan berkenaan serta apakah perancangan kerajaan menangani masalah itu.

Wan Junaidi berkata, menurut Kementerian Kesihatan, proses perolehan organ membabitkan prosedur klinikal yang perlu dijalankan dengan penuh teliti mengikut garis panduan tertentu dan dilakukan penuh terhormat, tidak seperti disebar dan digambarkan di dalam media sosial.
Katanya, proses perolehan dan pemindahan organ membabitkan prosedur pembedahan yang kompleks dan ia memerlukan penglibatan pakar perubatan berkemahiran tinggi mengikut bidang kepakaran masing-masing seperti urologi (saluran kencing), pembedahan hepatobiliari (hati), kardiotorasik (jantung) dan anaestesiologi (organ dalaman) serta rawatan rapi.

Jelasnya, proses penyimpanan organ juga rumit iaitu disimpan di dalam cecair pengawet khas pada suhu tertentu supaya ia berada dalam keadaan optimum sebelum dipindahkan kepada penerima dengan secepat mungkin.
“Sekiranya tempoh masa penyimpanan dan pemindahan organ tidak dipenuhi, organ yang diperoleh tidak dapat digunakan kerana ia tidak akan berfungsi dengan sepatutnya,” katanya. - BERNAMA
Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/01sumber dari harian metro

Tiada ulasan:

Silalah tinggalkan komen anda yang bernas & membina. Komen yang menyentuh keagamaan, politik, atau yang boleh menimbulkan rasa tidak senang orang lain adalah dilarang. Sila tinggalkan juga URL blog kalian supaya kami juga boleh membalas kunjungan.

Terima kasih kerana sudi singgah ke blog ceritaejoy.com

Dikuasakan oleh Blogger.